top of page

KONSEP KEJIRANAN






Semangat kejiranan merupakan unsur penting dalam kehidupan bermasyarakat. Selain dapat memupuk persefahaman sesama penduduk, semangat sebegini dapat menyatupadukan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara kita. Semangat kejiranan merupakan aspek yang penting dalam kehidupan. Ianya perlu diterapkan dalam diri dan seluruh masyarakat. Jiran perlulah mempunyai semangat dalam menjadikan sesebuah masayrakat yang lebih baik. Kita perlu memelihara semangat kejiranan kerana ianya dapat mengukuhkan dalam sesebuah masyarakat. Bermula daripada semangat kejirana inilah terjalinnya perpaduan yang teguh


Semangat kejiranan dapat melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Masyarakat yang mengamalkan sifat yang baik seperti tolong-menolong, saling bertegur sapa dan menjaga keselamatan masyarakat dapat mewujudkan satu suasana yang tenang dan aman. Masyarakat harus melakukan perkara yang baik mengekalkan keamanan yang terpelihara. Tamsilan yang jelas dapat dilihat dalam aktiviti bergotong-royong, masyarakat sentiasa menghulurkan bantuan antara satu sama lain dalam membersihkan kawasan perumahan.


Pelbagai punca yang menyebabkan semangat kejiranan semakin luntur, antaranya perubahan gaya hidup masyarakat sekarang yang terlalu sibuk mencari rezeki untuk menyara keluarga masing-masing. Sebagai akibatnya, mereka keletihan dan kesuntukan masa untuk bertegur sapa sesama jiran mereka. Corak pekerjaan yang dilakukan oleh masyarakat dahulu dan sekarang sangat berbeza. Masyarakat zaman dahulu, pekerjaan mereka berasaskan pertanian yang memerlukan semangat manakala masyarakat sekarang bekerja sendiri yang tidak menekankan amalan kerjasama. Oleh itu, perubahan hidup masyarakat sekarang jelas menjadi penyebab kepada kelunturan semangat kejiranan masa kini.

Selain itu , kemajuan dalam bidang teknologi atau media massa juga salah satu punca yang mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan. Pada zaman sekarang, bidang teknologi semakin berkembang dengan maju dan pesat. Penggunaan media elektronik seperti telefon bimbit, televisyen dan komputer pada masa sekarang yang menyebabkan semangat kejiranan kini semakin hilang. Masyarakat sekarang terlalu asyik menggunakan kemudahan yang terdapat di sekeliling mereka yang tidak memerlukan mereka keluar rumah dan bersusah-payah untuk mendapatkannya. Budaya sebegini menyebabkan amalan kunjung-mengunjungi sesama jiran semakin berkurangan. Ekoran dengan itu, kita akan menjadi hilang kemahiran untuk berkomunikasi dan bersikap ramah-tamah di dalam pergaulan., sebaliknya kita hanya akan menjadi seperti kera sumbang dan hanya mampu berinteraksi dengan orang lain melalui teknologi. Oleh itu, kemajuan dalam bidang teknologi pada masa sekarang turut mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan..


Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk memupuk semngat kejiranan , antaranya menghidupkan kembali amalan bergotong-royon. Hal ini membolehkan masyarakat bersama-sama menjalankan pelbagai aktiviti seperti membersihkan kawasan kediaman, memperbaiki alat kelengkapan di taman-taman perumahan, menebas semak-samun yang mungkin menjadi tempat persembunyian para penjenayah dan sebagainya. Amalan bergotong-royong ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama anggota masyarakat yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan latar belakang. Oleh itu, kita mestilah menghidupkan kembali amalan bergotong-royong kerana amalan ini dapat menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia.


Di samping itu, kempen mengadakan amalan rumah terbuka juga merupakan salah satu langkah yang boleh menghidupkan kembali semangat kejiranan. Melalui amalan ini, ziarah-menziarahi dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat terutama pada hari-hari perayaan kaum masing-masing. Amalan rumah terbuka ini memberi ruang kepada masyarakat untuk menjalin kemesraan walaupun mereka menyambut perayaan yang berbeza. Sebagai contoh, penduduk berketurunan India menziarahi jirannya yang beragama Islam pada Hari Raya Aidil Fitri dan orang Iban yang berjiran dengan penganut Kristian akan mengunjungi jiran mereka pada hari Natal, sekali gus dapat mengeratkan hubungan kejiranan sesama insan.


Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan kutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Perpaduan juga adalah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan. Oleh itu , semangat kejiranan memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.


Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page