top of page

KONSEP PERSAUDARAAN


Persaudaraan merupakan asas kepada kesatuan umat manusia dalam sesebuah entiti masyarakat. Hati budi seseorang itu bukan bergantung kepada bangsa, warna kulit, keturunan, pangkat atau hartanya, tetapi diukur berasaskan ketinggian budi pekerti yang terpuji. Dalam kerangka persaudaraan ini, interaksi sosial sesama manusia perlu mengikut adab-adab yang telah digariskan oleh Islam.

Oleh yang demikian, konsep persaudaraan yang berteraskan ikatan rabbani menjadi asas dan instrumen yang efektif kepada perpaduan seluruh umat Islam. Ini kerana, ikatan rabbani bersifat universal dan bersifat kualitatif tanpa mengira perubahan masa dan zaman. Pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w, Baginda telah berjaya membentuk satu masyarakat yang bersatu padu dan harmoni antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Baginda telah memainkan peranan penting dalam mengimbangi hubungan intergrasi yang bersepadu antara masyarakat Islam dengan kaum Yahudi dan Nasrani.

Persaudaraan ini adalah bagi memenuhi konsep saling lengkap melengkapi sesama insan dalam suasana yang harmoni. Kepentingan konsep persaudaraan sangat ditekankan kepada umat manusia dalam mengimbangi tuntutan Hablu Min al-Allah (hubungan dengan Allah) dan Hablu Minannas (hubungan sesama manusia).

Bagi menjamin dan menjaga keharmonian institusi masyarakat, setiap anggota dalam masyarakat perlu memahami konsep dan peraturan hidup masyarakat Islam mempunyai prinsip dan acuan tersendiri dalam konteks kemasyarakatan khususnya dalam nilai persaudaraan antaranya ialah persaudaraan menjadi wasilah atau mekanisme untuk mendekatkan diri pada Allah dan Rasul.

Justeru itu, berpegang kepada kehendak ayat al-Quran dan hadis, Nabi menyeru kepada umat manusia mengamalkan nilai-nilai murni demi mengukuhkan semangat perpaduan. Sesungguhnya, pengajaran yang terdapat sumber Ilahi mempunyai rahsia-rahsia yang tersembunyi dan manfaat yang sangat berguna kepada manusia. Semua amalan murni yang ditekankan dalam teks al-Quran di atas bertujuan untuk mencapai objektif keredhaan Allah dan dalam masa yang sama menjaga hubungan manusia sesama manusia.


Seterusnya ialah persaudaraan dapat memupuk nilai dan etika pergaulan sesama manusia.Menyentuh tentang adab dan etika pergaulan sesama manusia, setiap individu dalam masyarakat mempunyai obligasi yang tertentu untuk dilaksanakan. Ruang lingkup dan batas pergaulan sesama manusia perlu mengikuti tatasusila dan kodifikasi yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Nilai-nilai murni yang yang ditunjukkan oleh baginda perlu dipraktiskan bertujuan untuk memelihara keutuhan dan keharmonian dalam masyarakat. Kelembutan dan kesantunan budi pekerti yang ada Baginda bukan sahaja dikagumi oleh masyarakat Islam bahkan disegani di kalangan musuh Rasulullah S.A.W.

Bagi menjamin perpaduan dan keharmonian dalam sesebuah komuniti, Nabi menegaskan hubungan yang baik dan mesra perlu dikekalkan dalam hubungan interaksi sesama manusia. Sikap melukakan atau mengguris perasaan seseorang perlu dielakkan dalam hubungan berkomunikasi. Laras bahasa yang digunakan semasa bertutur perlulah mempunyai nilai-nilai positif dan memberi manfaat kepada pihak pendengar..

Akhir sekali ialah persaudaraan dapat memupuk ke arah pengukuhan perpaduan dan keamanan. Perpaduan dan keamanan yang dinikmati oleh masyarakat Malaysia pada hari ini menerusi persaudaraan, perpaduan dan keharmonian hidup di kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan kebudayaan. Nikmat-nikmat mestilah dipelihara dan dijaga supaya ianya terus kekal dan diwarisi oleh generasi semasa dan akan datang. Perkara-perkara yang boleh memecah belahkan masyarakat perlu dijauhi. Untuk mengekalkan keharmonian ini, masyarakat perlu berpegang kepada nilai-nilai hidup yang murni yang berupa kasih sayang, hormat menghormati, bersatu padu dan sebagainya. Keperluan kepada nilai ini perlu dibudayakan oleh setiap lapisan masyarakat dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dalam semua perkara. Tanpa perpaduan yang erat akan mewujudkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan mengundang kepada perpecahan.


Kesimpulannya, penerapan nilai dan etika persaudaraan sebagaimana yang dituntut oleh ajaran Islam dapat mengeratkan perpaduan dan keutuhan dalam komuniti masyarakat. Perpaduan merupakan paksi utama kepada kesatuan dan akan melahirkan generasi bersatu padu dalam kelompok masyarakat yang progresif dan dinamik. Justeru itu, dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai variasi kaum, agama dan bangsa penerapan nilai-nilai murni sebagaimana yang yang dianjurkan oleh ajaran Islam perlu dihayati dan diasimilasikan dalam realiti masyarakat majmuk. Oleh yang demikian, sekiranya nilai-nilai murni diketepikan oleh masyarakat, maka lahirlah generasi yang bersifat individualistik. Bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan politik yang baik, perpaduan merupakan resepi dan adunan yang terbaik dan kunci utama khususnya bagi rakyat yang berbilang kaum.

Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page