KEPRIHATINAN SOSIAL
Selaku golongan yang bakal mewarisi kepemimpinan dalam pelbagai bidang kehidupan, pelajar perlu memahami masyarakatnya. Tanpa keprihatinan sosial yang dipupuk di universiti dan pusat-pusat mengajian tinggi tidak mungkin mereka dapat memainkan peranan selaku pemimpin dan menangani pelbagai masalah masyarakat. Keprihatinan sosial penting kerana sikap ini merupakan intipati dan asas kehidupan bermasyarakat. Keprihatinan sosial semakin penting ketika berlaku proses pemodenan atau perubahan pesat yang turut menghakis nilai-nilai utama dan amalan tradisional masyarakat.
Jikalau kita menyingkap sejarah perjuangan pelopor-pelopor politik, sosial, penulisan, dan agama negara ketika zaman pra-Merdeka, malah sejak di suku pertama abad yang lalu lagi. Keprihatinan sosial dan penglibatan mereka dalam perjuangan kemerdekaan dan membentuk negara-bangsa merupakan suatu khazanah yang tidak ternilai yang kita warisi sehingga kini. Jelaslah bahawa keprihatinan sosial bukan sesuatu yang terjadi secara spontan, automatik atau mekanikal. Ia suatu proses yang terbentuk melalui pemahaman dan penghayatan nilai-nilai murni masyarakat serta amalan sosial itu sendiri.
Untuk itu pelajar perlu merasakan diri mereka bebas mempunyai kepercayaan terhadap diri sendiri, dan berkeyakinan bahawa mereka boleh memberi sumbangan kepada masyarakatnya. Hal ini melibatkan persiapan ilmu dan intelektual. Ia memerlukan pencetusan dan interaksi idea serta perbahasan sesama pelajar dan dengan pihak-pihak lain. Dan ini pula mesti dirangsang atau didorong oleh perasaan insaf dan cintakan bangsa dan negara, suatu perasaan murni yang dapat memberi makna kepada kehidupan seseorang.
Kepentingan, keinginan dan cita-cita masyarakat tidak harus berdasarkan kepada sesuatu set nilai golongan tertentu, betapapun berilmu dan berpengalamannya golongan ini. Ini suatu ciri dan tuntutan demokrasi dan sepatutnya disedari dan diakui oleh pihak-pihak berkenaan, lebih-lebih lagi yang terpelajar. Anggota-anggota masyarakat termasuk pelajar, harus sama-sama terlibat dalam proses penentuan dan memperbaiki keadaan. Lagipun sejarah pelbagai masyarakat banyak menunjukkan bahawa masyarakat berupaya menghadapi sebarang pergolakan yang timbul.
Keprihatinan sosial merupakan suatu cetusan idealisme pelajar dan generasi muda umumnya. Idealisme ini memberikan semangat dan dorongan kepada pelajar untuk melakukan yang baik, untuk menyumbang bakti kepada msyarakatnya. Ini amat wajar kerana masyarakat telahpun banyak berjasa kepada pelajar. Idealisme ini justeru tidak harus dicurigai, sebaliknya diberi ruang untuk berkembang.
Kalangan kakitangan akademik dan pentadbir yang diberikan kedudukan strategik di pusat-pusat pengajian tinggi perlu membantu menggalakkan keprihatinan sosial di kalangan pelajar. Mereka harus lebih bersikap toleran terhadap mereka yang ghairah bertanya, meneroka dan kadangkala tidak sabar mahu bertindak itu. Perlu diakui bahawa semua itu suatu fenomena biasa di kalangan generasi muda termasuk pelajar. Ia bukan sesuatu yang perlu dirisaukan sangat, tetapi harus dipantau dengan penuh timbang rasa dan tolak-ansur kerana kesan positif jangka panjangnya yang kerap terbukti itu.
Dalam kalangan pelajar proses keprihatinan sosial juga mempunyai cabarannya yang tersendiri. Pelajar perlu berusaha memecahkan tembok yang menghalang mereka daripada memainkan peranan terhadap masyarakat. Inisiatif dan kreativiti di pihak pelajar amat penting di sini walaupun sukar. Sebagai contoh, pelajar perlu terus berusaha menangani dan mengatasi kemelut-kemelut dan isu-isu dalaman dan memupuk serta memantapkan persefahaman, kerjasama dan perpaduan di kalangan mereka. Mereka juga harus bijak dan tegas dalam menuntut dan mempertahankan hak-hak mereka dan tidak mengharapkan pihak lain, betapapun simpatetik, untuk memperjuangkan kepentingan mereka. Ini akan membantu pelajar dalam memainkan peranan bersejarah mereka terhadap masyarakat, di samping menggalakkan perkembangan universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi yang lebih adil, saksama, segar dan demokratik bagi semua yang terlibat.
Universiti sejak awalnya, diwujudkan untuk meneroka dan menyebar ilmu, menjadi medan perbahasan dan pertembungan pelbagai gagasan dan pemikiran, memupuk dan mengembangkan daya intelektual pelajar dan pensyarah, serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Malahan, apa yang dikatakan kecemerlangan dan keunggulan tidak juga bermakna dan relevan jika gagal menyesuaikan diri dengan cita-cita dan kehendak masyarakatnya.
Di sinilah keprihatinan sosial itu diperlukan kerana ia memberi makna kepada kewujudan universiti atau pusat-pusat pengajian tinggi di tengah-tengah masyarakatnya. Jika universiti dapat diibaratkan sebagai tanah subur maka keprihatinan sosial pula benih-benih yang wajar bercambah untuk memanfaatkan pelajar dan masyarakat sekitarnya.