UNSUR - UNSUR KHURAFAT DALAM FILEM
Amalan khurafat merupakan amalan yang telah berlaku sejak zaman Arab jahiliyyah lagi. Sehingga kini amalan tersebut masih menjadi amalan dalam masyarakat Islam. Khurafat adalah salah satu bentuk penyelewengan dalam akidah Islam. Amalan khurafat mengalih pergantungan manusia daripada khalik iaitu Allah kepada makhluk yang dicipta oleh Allah.
Unsur-unsur Khurafat dalam Filem Khurafat ialah suatu kepercayaan dan perbuatan karut yang dianggap mempunyai hubungan dengan agama Islam sedangkan pada hakikatnya ia sebenarnya dilarang oleh agama Islam kerana bertentangan dengan konsep tauhid dan syariat dalam Islam. Selain itu, hal ini dapat memesongkan akidah kita sehingga boleh mengakibatkan kita menyekutukan Allah.
Pada masa kini, kita dihidangkan dengan pelbagai bentuk hiburan termasuklah perfileman yang berunsurkan hantu dan seram. Hal ini tidak kira sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik. Pelbagai ciptaan atau rekaan alat-alat komunikasi yang serba canggih turut menambahkan lagi sumber hiburan yang sedia ada. Namun bentuk-bentuk hiburan sebegini dapat mengundang kealpaan juga memberi kesan negatif kepada masyarakat. Lambakan drama dan filem yang berunsurkan tahyul, bidaah dan khurafat kini mula mendapat kritikan daripada masyarakat yang prihatin dengan perkembangan ini. Sehinggakan mantan perdana menteri, Tun Dr.Mahathir sendiri memberi pendapat bahawa lambakan filem dan drama sebegini harus dikaji akan baik buruknya.
Khurafat bermaksud tempat atau sesuatu yang suci dan (dipercayai) dapat mendatangkan hikmat. Menurut Kitab Al-Mu’jam al-Wasit, khurafat adalah cerita-cerita yang mempersonakan yang dicampuradukkan dengan perkara dusta. Manakala mengikut Kamus al-Marbawi bahawa khurafat ialah sebarang cerita yang benar-benar dusta. Pendapat lain menyebut bahawa khurafat adalah sesuatu hal yang tidak masuk akal atau perkara-perkara yang sukar untuk dipercayai kebenarannya.
Berdasarkan takrif tersebut dapat dibuat kesimpulan bahawa khurafat ialah sesuatu perkara mempersonakan berbentuk rekaan atau dongeng (legenda) yang karut atau tahyul yang menyimpang dari ajaran Islam.
Khurafat berasal dari perkataan bahasa arab al-khurafat yang bererti dongeng, legenda, kisah, cerita bohong, dugaan, kepercayaan dan keyakinan yang tidak masuk akal, atau akidah yang tidak benar., menceritakan hal-hal yang tidak masuk akal di atas umumnya menarik dan mempesonakan, maka khurafat juga disebut dalam “al-hadis al-mustamlah min al-kidb”, cerita bohong atau karut yang menarik dan mempesonakan
Secara istilah pula, khurafat adalah suatu kepercayaan, keyakinan, pandangan dan ajaran yang sesungguhnya tidak memiliki dasar dari agama tetapi meraka yang cenderung untuk melakukan perbuatan karut atau khurafat meyakini bahwa hal tersebut memiliki dasar dari agama. Oleh yang demikian, bagi umat Islam, ajaran atau pandangan, kepercayaan dan keyakinan apa saja yang dipastikan tidak benar atau ia sememangnya bertentangan dengan ajaran al-Qur’an dan Hadis nabi, yang dikategorikan sebagai khurafat.
Selain itu, kata lain bagi Khurafat secara bahasa berarti takhayul. Dalam kamus munawir khurafat ialah hal yang berkenaan dengan kepercayaan yang tidak masuk akal (batil). Pengertian khurafat dalam Islam pua ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang-larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang atau bertentangan dengan ajaran Islam .
Berdasarkan pengertian di atas, khurafat ialah cerita dan perbuatan yang direka-reka dan bersifat dusta. Begitu juga dengan pemikiran yang direka-reka merupakan salah satu bentuk khurafat. Antara contoh perbuatan khurafat ialah menanam sebatang pokok pisang di halaman atau rumah yang baru selesai dibina dianggap dapat membawa sial pada penghuni rumah itu,jika bunga ditanam ditempat berdaun lebat dianggap dapat memiliki banyak rezeki, jika sebatang pokok beringin yang ditanam di halaman istana tumbang, hal ini pertanda akan terjadi penggulingan pimpinan negara.
Akidah seseorang yang rosak seperti pergantungan seseorang terhadap sesuatu yang lain selain daripada Allah. Dalam Islam Allah memerintahkan manusia untuk mentauhidkan Allah semata-mata. Ini bermakna tiada yang berhak disembah melainkan Allah s.w.t dalam apajua keadaan. Permohonan kepada sesuatu selain Allah bermakna kita telah menyekutukan Allah yang mengakibatkan kita tergolong dalam fitnah paling besar dan amat ditakuti iaitu mensyirikkan Allah.
Selain itu, pengetahuan luar biasa bomoh dalam hal-hal berkaitan perkara ghaib telah menyebabkan mereka terlalu yakin dengan pengetahuan dan kelebihan yang mereka ada sehingga mengakibatkan masyrakat terperdaya dan meminta pertolongan daripada golongan ini. Sebagai seorang Islam kita wajib meyakini bahwa tiada yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah s.w.t
Punca lain ialah wujudnya perasaan terlalu takut terhadap hantu, jin dan syaitan sehinggakan sanggup memberi salam dan tunduk hormat kepada penunggu setiap kali melalui tempat yang dianggap mempunyai keramat. Ada pula yang memberi pengeras malah memandikan kereta dengan air limau dan jampi mantera semata-mata untuk mengelakkan bala bencana.
Sebagai seorang Islam, sewajibnya kita mendapatkan perlindungan dan berserah diri kepada Allah. Syaitan, binatang buas serta manusia tidak dapat mendatangkan manfaat atau menimpakan mudarat melainkan dengan izin Allah.
Terdapat beberapa unsur-unsur yang negatif yang mampu diserap kepada para penonton. Lebih-lebih lagi golongan di peringkat remaja dan kanak-kanak. Mereka ini merupakan golongan yang mudah terpengaruh kerana masih berada dalam proses belajar. Antara kesan negatif filem berunsur hantu dan seram ini adalah boleh merosakkan akidah umat Islam, menimbulkan syirik dan unsur kurafat dalam diri penonton, melemahkan iman seseorang dan memesongkan seseorang dari ajaran Islam.
Hal ini ditakuti menyempitkan fikiran dan mengancam akidah generasi muda dan kanak-kanak terutamanya. Ditakuti juga mereka ini akan terpengaruh dengan aksi-aksi yang dilakonkan mengenai kononnya wujud pelbagai jenis hantu yang direka semata-mata untuk menimbulkan rasa seram kepada penonton. Perasaan takut mereka itu dibimbangi adalah lebih kepada hantu-hantu rekaan tersebut melebihi kepada Allah s.w.t. Lakonan yang sangat berkesan daripada para pelakon pula telah menambahkan kakuatan terhadap kepercayaan tahyul, khurafat dan syirik. Kekuatan kepercayaan terhadap hantu ini juga akan melemahkan iman dan memesongkan kepercayaan terhadap Allah s.w.t.
Sepertimana yang kita ketahui terdapat banyak nilai dan impak yang negatif dalam penghasilan filem yang berunsurkan khurafat. Perkara ini terjadi berpunca daripada sikap sesetengah para pengarah filem yang tidak mengambil prihatin akan penghasilan filem yg dikeluarkan. Kebanyakan filem yang dihasilkan ini mempunyai unsur-unsur khurafat yang berlebihan sehingga boleh memberi pengaruh negatif kepada masyarakat di Malaysia.
Tindakan utama yang perlu dilakukan ialah tindakan daripada pihak atasan yang memantau dan pengawalan penghasilan perfileman di Malaysia. Pihak utama yang perlu bertindak ialah Suruhanjaya Multimedia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Pihak berkuasa ini haruslah sentiasa memastikan penghasilan filem-filem di Malaysia ini menepati piawaan yang ditetapkan dalam akta yang telah disabitkan. Filem yang dihasilkan juga perlulah ditapis dan diuji selidik terlebih dahulu secara lebih jelas oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). FINAS juga hendaklah mendokumentasi, menyimpan, memelihara dan memulihara bahan kandungan audio visual filem yang dihasilkan secara berkesan. Hal yang demikian kerana bagi memastikan filem yang dihasilkan dan dikeluarkan tidaklah memberi impak yang negatif kepada masyarakat dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Filem yang dihasilkan juga perlulah sesuai mengikut peringkat umur dan peringkat kesihatan masyarakat untuk ditayangkan. Penerbit perlu menekankan larangan kepada para penonton tentang syarat-syarat tontonan filem seperti larangan bagi para ibu yang mengandung dan anak-anak kecil untuk tontonan filem seram. Perkara ini harus ditegaskan kerana setiap tontonan filem itu memberi impak dan kesan yang mendalam terhadap para penonton.
Selain itu, anggota masyarakaat terutamanya ibu bapa haruslah sentiasa prihatin dan bersikap tegas dalam memantau tontonan anak-anak mereka. Ibu bapa perlulah sentiasa tegas dalam perhatian mereka, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya memberi kelonggaran kepada anak-anak mereka untuk menonton filem-filem seram. Sebagai ibu bapa juga hendaklah sentiasa memberi perhatian dan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak. Anak-anak ibarat kain putih yang perlu dicorakkan oleh ibu bapanya, jika dicorak dengan baik maka baiklah hasilnya, jika salah coraknya maka buruklah hasilnya.
Seterusnya, sebagai seorang umat Islam yang mempunyai pegangan agama yang baik hendaklah sentiasa tegas dan tidak memandang remeh dalam penghasilan filem khurafat ini. Mereka perlulah memastikan tayangan filem yang mereka tontoni bebas daripada unsur-unsur khurafat yang boleh mempengaruhi minda. Jika terdapat sebarang unsur-unsur yang berlebihan dalam filem yang ditayangkan, mereka seharunya membuat aduan kepada pihak berkuasa seperti FINAS bagi memastikan kegiatan ini dapat dibanteras dengan segera.
Secara rumusannya, kami telah peroleh pelbagai pengajaran dan pengetahuan yang baik daripada kajian ini. Antara pengajaran yang kami peroleh ialah sebagai umat Islam, kita diwajibkan bertawakal dan hanya bergantung kepada Allah selepas berusaha bersungguh-sungguh dalam sesuatu pekara yang dihajati. Terutama sekali dalam melakukan tugas-tugas harian sebagai khalifah di bumi ini.
Di samping itu, kita hendaklah percaya bahawa meminta bantuan kepada makhluk lain selain Allah seperti jin dan syaitan akan memberikan kesan yang memudaratkan dan bukannya memperoleh manfaat dari apa yang diminta. Hal ini kerana tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah malah tindakan ini akan mengakibatkan pemikiran umat islam terbelenggu dalam akidah sesat.
Tambahan pula, sebagai seorang anggota masyarakat yang prihatin terhadap persekitaran, kita perlulah sentiasa tegas dalam membanteras dan membendung masalah yang berkaitan pengamalan unsur-unsur khurafat dalam kalangan masyarakat. Segala kegiatan khurafat yang berlebihan dalam industri perfileman perlulah dielakkan dan dihapuskan. Mungkin perkara ini tidaklah memberi impak yang besar dalam keseluruhan masyarakat tetapi jika dibiarkan lama ianya pasti memberi kesan buruk kepada keseluruhannya.
Akhir sekali, kita haruslah berpegang teguh dengan ajaran agama Islam dan juga sentiasa memahami dan mendalami ilmu Al-Quran dan Sunnah bagi mengelakkan amalan khurafat ini terus berleluasa dalam kalangan masyarakat khusunya masyarakat Islam kita sendiri. Sebagai khalifah di bumi, kita juga sentiasa dituntut untuk sentiasa taat segala perintah dan meninggalkan segala-Nya, apatah lagi jika perbuatan kita itu berunsurkan khurafat.